Saya perhatikan, masih ramai yang keliru akan penggunaan kedua-dua istilah ini. Sebenarnya, mana satu yang betul?
Deadline atau dateline?
Mari kita lihat definisinya dahulu, selepas itu anda putuskan mana satu yang betul untuk digunakan dalam ayat, mengikut konteks dan konten yang anda mahu sampaikan.
Dateline
Menurut Kamus Dewan, dateline ada dua takrifan.
Pertama, dateline juga disebut sebagai baris tarikh iaitu baris yang ditaip tarikh.
Kedua, ruang tarikh. Dalam bidang jurnalism, ini adalah ruang pada permulaan sesuatu dokumen (contohnya artikel akhbar), di mana tarikh dan lokasi berita itu ditulis.
Dalam kata lain, ia adalah daftar kata bagi penerbitan akhbar atau berita. Ia merujuk kepada bahagian, tarikh dan lokasi bahan itu diterbitkan.
Saya beri contoh, yang diambil daripada laman web bernama.com, bahagian Rencana. Artikel ini ditulis oleh sahabat saya, Ali Imran Mohd Noordin yang juga founder wartawanawam.com.
Selain laman sesawang ini, beliau juga aktif berkongsi mengenai etika kewartawanan sebagai menggalakkan orang awam menyebarkan berita daripada sumber dan cara yang betul melalui grup FB Wartawan Awam (The Public Reporter).
Perhatikan contoh dalam gambar di atas, bahagian yang ditandakan dengan warna merah adalah dateline.
Bagi contoh di atas, 27/02/2020, 11:22AM, Kuala Lumpur (Bernama) adalah dateline-nya. Saya letakkan tarikh kerana ini artikel atas talian, waktu kemas kini itu ada peranan tersendiri.
Deadline
Deadline pula bermaksud tarikh/tempoh akhir atau batas waktu (menurut Kamus Dewan). Ada satu lagi istilah yang mewakili had waktu juga, iaitu tenggat tetapi ia jarang digunakan.
Jika anda ada tugasan atau pekerjaan yang perlu diselesaikan sebelum sekian waktu, istilah yang perlu digunakan adalah deadline.
“I have to meet the deadline. I need to send the article before the deadline tomorrow.”
“Saya kena siapkan tugasan ni cepat-cepat, deadline sebelum 12 tengah hari esok!”
Nampak perbezaannya?
Harap anda tidak tersalah guna istilah lagi selepas ini.
Mahu jadi penulis, haruslah tahu bezakan kedua-duanya.
Semoga membantu.