Penjelajah Grand Slam Termuda – Marin Minamiya #2

 Ada Pintu Yang Terbuka

Belumpun nampak penyelesaian soal kewangannya, situasi menyebalkan semakin menumpuk. Seperti salju yang menumpuk dan membentuk glasier, Marin berhadapan dengan tumpukan kata-kata negatif yang tujuannya tidak lain, melemahkan semangat seorang perempuan.

Sangat ramai yang memberitahunya, dia tidak akan mampu melakukannya. Budak mentah 17 tahun nak daki Gunung Everest? Mengarut, sangat mengarut dan membuang masa.

Lebih menyakitkan, seorang lelaki Jepun yang pernah menawan puncak tertinggi dunia itu dan telah selesai misi Seven Summit-nya memberitahu Marin secara berhadapan, “Kamu memalukan saya dengan misi itu. Nak daki Gunung Everest? Buat sahaja kerja kamu, kembali ke sekolah dan belajar.”

Namun, bukanlah namanya Marin Minamiya sekiranya dia memilih menerima semua cercaan itu dan buat seperti yang mereka mahukan. Misi yang jauh tak harus terus jauh, dia mendekatkanya dengan apa-apa sahaja yang ada dalam tangan.

71196925_10218255107561984_5687074554363510784_o

Komputer peribadi dan telefon bimbit, itu yang Marin ada sebagai tambahan kepada semangat rebel seorang remaja. Dengan gajet itu, dia menghubungi 100 syarikat setiap hari selepas pulang dari sekolah melalui emel mahupun panggilan telefon. Misinya hanya satu, mendapatkan penaja untuk membiayai ekspedisi dan impiannya.

Usaha Marin akhirnya mendapat perhatian DUA syarikat akhbar yang besar. Mereka memuatkan kisah anak muda itu dalam akhbar edisi petang.

Fikir Marin waktu itu, “Siapalah yang akan baca akhbar itu dan kemudian menaja misi saya?”

Tetapi, kita tak akan tahu apabila pintu peluang terbuka. Nasibnya baik dan rezekinya murah apabila seorang nenek yang juga bekas pendaki tegar dan pencinta alam semulajadi membaca kisahnya. Nenek ini sangat suka mahu membantu wanita muda yang mahu mencapai impian mereka.

Dia dihubungi nenek ini yang tanpa berfikir panjang meminta maklumat akaun bank Marin. Sejumlah besar wang berpindah akaun dan ia mencukupi untuk Marin memulakan ekspedisi pertamanya.

Selepas peperiksaan akhir, Marin langsung mengemas beg dan terbang ke Argentina. Lokasi tujuannya, Gunung Aconcagua iaitu puncak tertinggi di Amerika Selatan. Dia mendaki gunung itu dan mencatatkan Aconcagua sebagai puncak pertama yang ditawan dalam misi Seven Summit.

Dari situ, Marin meneruskan langkah. Selepas bergraduasi, dia semakin yakin semuanya berjalan lancar. Dia juga sudah memutuskan mahu mengambil jurusan Sains Politik dan Ekonomi di universiti nanti. Namun, sekali lagi dia diuji. Kali ini jauh lebih berat berbanding cerita sebelumnya.

7 Mac 2015, musim sejuk di Jepun. Marin jatuh daripada gunung setinggi 250 meter, dengan kepalanya lebih dahulu mencecah bumi.

(Saya ternganga sewaktu dia menceritakan kisah ini. Jantung berdetak kencang, lebih-lebih lagi apabila membayangkan seorang wanita jatuh dari tempat setinggi itu. 250 meter, ia separuh daripada ketinggian Menara Kuala Lumpur!)

Aduhai, Marin.

Halangan Paling Besar

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Sekali lagi, rezeki berpihak pada Marin. Dia sungguh bertuah.

Selepas jatuh dari ketinggian 250 meter, dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Barangkali, ketebalan salji membantunya.

Tidak dapat mengelak, saya membayangkan babak Anna dan Sven (filem Frozen) yang terjun dari tempat tinggi ketika berhadapan raksasa ais, dan ya, mereka selamat kerana ada salji yang tebal. Mungkin situasinya begitu juga untuk Marin.

Mengetahui betapa besar belanja yang diperlukan untuk mendapatkan helikopter penyelamat, Marin menggagahkan diri untuk bangun dan turun dari gunung secepat yang mungkin. Dia abaikan rasa sakit, takut dan panik, sebaliknya bertenang dan menumpukan seluruh tenaga untuk hal yang lebih utama – menyelamatkan diri.

Keesokan harinya, dia tetap diselamatkan. Pasukan penyelamat nasional membantu mengeluarkan Marin dari kawasan gunung dan dia diterbangkan ke hospital yang berdekatan. Siapa tahu, di sana gunung halimunan ketiga dan yang paling besar sudah berdiri kukuh, menanti untuk dia panjat.

Selepas berhadapan dengan tragedi seburuk itu sesiapa jua pasti mengharapkan ada orang yang tersayang yang akan berada di sisi mereka dan memberitahu, “Semuanya akan baik-baik sahaja.”

Di hospital itu, rakan-rakan dan guru dari sekolah tinggi datang melawat Marin. Sayangnya, di celahan kumpulan manusia itu, Marin tidak menemukan wajah-wajah yang dia mahu lihat. Kedua-dua ibu bapanya tidak ada di situ.

Ayah Marin sebelumnya sudah menempah tiket penerbangan dari Shanghai ke Jepun sebaik mendengar khabar kemalangan anak perempuannya. Tetapi, dia membatalkan tempahan apabila mengetahui Marin selamat. Sementara ibunya pula sedang sibuk dengan sesuatu dan tidak dapat datang.

Sangat kecewa. Saya tidak mampu menggambarkan kekecewaan yang Marin hadapi pada waktu itu. Sebaik mendengar kisah pahit ini dari mulutnya sendiri, bukan saya sahaja, malah seluruh isi dewan berkongsi rasa yang sama. Kami ikut berduka.

Jujur, air mata saya jatuh saat dia menceritakannya. Allahu akbar, ini sangat menyakitkan. Sehingga cerita ini ditulis, saya masih rasa sakit untuk dia. Dan saya masih menangis untuk dia. (Sebab itu, saya ambil masa untuk sampai ke bahagian ini. Maaf.)

Selepas discaj dari hospital, Marin mengambil bullet train dan pulang ke Tokyo. Sampai di rumah, dia mengambil kunci dan membuka pintu. Gelap. Tidak ada yang menyambutnya kecuali kegelapan.

Tidak ada sesiapa yang berdiri di hadapan pintu dan berkata, “Hei, selamat pulang!” beriring ulas senyuman yang paling lebar. Apatah lagi pelukan hangat yang dipenuhi ucapan kesyukuran.

Kata Marin, ini jauh lebih menyakitkan daripada jatuh dari gunung itu sendiri. Tahulah dia, dia benar-benar sendirian. Betapa dia berharap ada seseorang menantinya di situ.

Jika ucapan atau pelukan itu berat, cukup sekadar datang dan menemaninya. Itu sudah sangat mewah untuk Marin waktu itu. Lebih-lebih lagi, dia anak tunggal. Siapa lagi yang dia punya melainkan kedua-dua orang tuanya?

Berhari-hari, bahkan berminggu-minggu selepas itu Marin hanya berbaring di atas katil. Dia tidak mampu untuk bergerak. Marin mengalami kemurungan. Dia tidak berupaya untuk bangun dan menguruskan diri. Membasuh pakaian, mahupun menyediakan makanan untuk dirinya sendiri, dia tidak punya kekuatan untuk melakukannya.

Hidupnya benar-benar gelap. Dia sudah tidak nampak masa depan yang penuh harapan.

#MarinMinamiya #ghostwriter #zafigoX #womentraveller #iamatranscriber

Leave a comment