Minggu lepas, saya berjaya sudahkan bacaan buku ini.
Saya baca versi ebook, yang dibeli melalui Google Play. Judulnya Sabtu bersama Bapak, tulisan Adhitya Mulya. Terbitan Gagas Media, setebal 291 halaman.
Ceritanya sederhana. Seperti judulnya, buku ini adalah tentang perhubungan. Dengan jalan cerita yang realistik, ada banyak pesanan soal membina dan menjaga hubungan, baik sesama suami isteri, ibu bapa dengan anak, adik-beradik atau sesama rakan sekerja disampaikan dalam buku ini.
Satu perkara yang saya sangat suka dalam buku ini, mesej-mesej yang disampaikan oleh setiap wataknya.
Hal yang dilakukan oleh sang ayah itu, luar biasa dan sangat menginspirasi. Bercerita pasal kepentingan merancang dalam hidup, lebih-lebih lagi apabila sudah tahu hayat tidak lama. Rancang untuk ‘pergi’ sebagai orang yang berguna. Respek.
Banyak dialog bermakna dalam naskhah ini, buat saya asyik berfikir. Paling disukai dialog Saka, yang diucapkan hasil pesanan sang ayah juga, “Kerana untuk menjadi kuat adalah tanggungjawab masing-masing orang. Bukan tanggungjawab orang lain.”
Betapa saya selama ini asyik berfikir pentingnya mencari pasangan yang saling melengkapi. Ya, itu tidak dinafikan. Gelarannya pun, pasangan. Haruslah ada yin dan yang.
Namun, dalam melengkapi itu harus ada perkara lain: seimbang, sesuai ataupun sekufu. Mahukan pasangan yang kuat, haruslah diri sendiri juga kuat. Jika mencari yang beriman, dalam keadaan diri sendiri tidak menjaga solat lima waktu, itu bukanlah pasangan.
Jika ada isi yang saya tidak suka, ada bahagian yang jalan ceritanya agak laju. Berharap mahu membaca lebih banyak sisi kisah Ibu Etje, peranannya dalam merealisasikan hasrat sang ayah kepada mereka anak-beranak.
Nota : Buku bestseller ini sudah difilemkan dan ditayangkan di pawagam Jakarta pada 1 Julai 2016.