K-POP Sebagai Produk Mempromosikan Bahasa Korea

Hujung Jun lalu, terdapat beberapa program diskusi yang sangat menarik mengenai bahasa dan dunia perbukuan, anjuran pelbagai pihak.

Salah satu daripadanya ialah program temu bual anjuran TVAlHijrah ini. Tajuknya sahaja sudah menarik; K-POP Sebagai Produk Mempromosikan Bahasa Korea.

Topik ini dibincangkan bersama tokoh bahasa yang tidak asing lagi dari Korea, iaitu Prof. Dr. Koh Young Hun dari Jabatan Melayu-Indonesia, Pengajian Bahasa Asing Universiti Hankuk, Seoul.

EXO, sumber foto: Allkpop

Pada masa yang sama (28 Jun 2022, 10.00 pagi), satu sesi diskusi anjuran Penerbit USM turut berlangsung. Kesinambungan The EMDASH Show, Episod ke-16 yang membincangkan topik Buku Penerbitan Ilmiah Tidak Menyelerakan?

Bagi yang terlepas kedua-dua sesi tersebut, klik pautan pada nama program untuk menonton.


Mengapa Saya Berkongsi dan Memilih Diskusi Ini?

Pertama, sesi berkenaan berlangsung dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ini sangat menarik! Saya menontonnya dengan pelbagai perasaan.

Pada awalnya, saya gembira. Seronok apabila mendengar ayat bahasa Melayu bernada Korea.

Kedua, saya berbangga apabila tetamu jemputan dari Korea ini begitu fasih. Saya mengambil peluang mengumpul kosa kata. Ketiga, saya pasti kita boleh dapat sesuatu daripada sesi tersebut dan hal itu bukan hal yang melibatkan bahasa itu bukan perkara kecil.

Namun, di sebalik seronok dan bangga itu, lama-kelamaan terbit rasa malu apabila mendengarkan sekian banyak harapan dan kekecewaan beliau dalam kerja-kerja mempertahankan bahasa Melayu itu sendiri.

Jadi terdiam dan termenung apabila beliau menyampaikan kekecewaan pelajarnya yang berkata, “Saya ke Malaysia kerana mahu belajar bahasa Melayu, tetapi mereka bercakap bahasa Inggeris.”

Betapa ada terlalu banyak hal yang tidak dilakukan secara serius, sehingga bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu sudah tidak gah lagi. Bahkan dunia lebih kenal bahasa Indonesia.

Lingua franca ialah frasa dari bahasa Latin. menurut Kamus Dewa Edisi Keempat, lingua franca bermaksud: bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa.

The Patriot Asia ada menerbitkan artikel mengenai hal ini di bawah judul “Bagaimana Bahasa Melayu Menjadi Lingua Franca?

Sebagai orang yang mahu belajar, kita campakkan dahulu rasa malu itu. Saya kongsikan beberapa dapatan ringkas daripada temu bual berkenaan.

Bagaimana bahasa Melayu boleh menjadi seperti bahasa Korea dan boleh diperkenalkan di luar kepulauan Melayu?

Sebelum perkenalkan bahasanya, negara Malaysia perlu dipromosikan dahulu kepada dunia. Apabila orang luar tahu tentang Malaysia, mereka akan mahu belajar bahasanya iaitu bahasa Melayu.

Gunakan Jabatan Pengajian Melayu di luar Malaysia untuk mengembangkan bahasa dan budaya negara kita.

Apabila saya kongsikan hal ini, ada rakan yang menambah, peranan kedutaan sangat penting. Ya, saya tidak menafikannya. Itu juga salah satu ruang penting yang perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam memperkenalkan bahasa Melayu kepada dunia.

Kedudukan Bahasa Melayu di Korea

Menurut Prof. Koh, kedudukan bahasa Melayu di Korea sangat khas. Kerajaan Korea Selatan membelanjakan 1.5 juta USD bagi membina panduan maya (virtual Teaching Assistant), khusus untuk orang Korea belajar bahasa Melayu.

Projek yang sudah berjalan selama tiga tahun ini adalah kerjasama antara Jabatan Pengajian Melayu-Indonesia Universiti Hankuk dan Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST).

Kesombongan Bahasa

Dalam sesi ini juga, Prof. Koh ada berkata, “Saya mengaku bahawa bahasa Inggeris itu penting, tetapi bahasa Korea sudah cukup untuk pembangunan dan perkembangan Korea.”

Mereka boleh, mengapa tidak kita?

“Kita mesti ada sikap “sombong bahasa”. Kita mesti menerima dan menggunakan Bahasa Melayu yang baik; iaitu Bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah, ataupun Bahasa Melayu Tinggi.”

Prof. Emeritus Abdullah Hassan

Ya, jika bukan kita yang mengangkat bahasa itu sendiri, siapa lagi? Salah satu perkara yang boleh dihadiahkan kepada generasi akan datang adalah ilmu berbahasa itu sendiri, sebagai langkah membina jati diri bangsa.

Atas rasa percaya inilah, saya masih mahu bekerja dalam bidang bahasa, masih mahu menjadi pekerja bahasa. Saya selalu meyakini bahawa ini cara untuk saya menyumbang dalam usaha memandaikan bangsa.

Insya-Allah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s