
Do’s & Don’ts dalam kerja-kerja mentranskrip
Ada yang bertanya, apa yang perlu dibuat sewaktu mentranskrip satu-satu rakaman?
Sebelum itu, mari saya jelaskan dahulu maksud transkripsi dan pentranskrip. Jangan salah faham ya, ini bukan transkrip sijil macam yang anda faham tu.
Pekerjaan apakah ini? Transkripsi maknanya menyediakan skrip atau teks penuh atau lengkap daripada rakaman ucapan, mesyuarat, kuliah, dan lain-lain. Atau menukarkan bahan bertulis daripada sesuatu bentuk ke bentuk lain (teks ke digital, seperti buku lama yang mahu diulang cetak).
Umumnya, pentranskrip berperanan menukarkan maklumat audio kepada bentuk teks untuk tujuan-tujuan tertentu sama ada menghasilkan sarikata, mengolah ke bentuk buku, minit mesyuarat, artikel dan lain-lain.
Terdapat cabang tugas khusus dalam dunia transkripsi yang dipanggil penganotasi. Penganotasi ini tugasnya menganotasi, iaitu membuat catatan tambahan kepada teks, manuskrip, dan sebagainya bagi memberikan penjelasan atau keterangan lanjut mengenai sesuatu perkara.
Baik, kembali kepada transkrip. Apa amalan yang boleh dan tidak boleh dibuat (Dos & Dont’s) waktu membuat transkrip?
1. Tulis sahaja setiap perkataan yang diucapkan penyampai
+ Jangan sunting. Menyunting itu pekerjaan lain dan tidak dibuat semasa mentranskrip.
Ini kelebihan besar untuk tuan puan yang biasa buat #freewriting (biasa menaip laju dan kurang menekan butang backspace). Buat kerja-kerja penyuntingan selepas rakaman selesai ditranskrip.
Begitu juga jika klien minta teks yang disunting, lakukannya selepas siap mentranskrip. Pengkhususan begini akan meningkatkan kecekapan kerja anda.
2. Buat pemerengganan
+ Buat perenggan baru mengikut kesesuaian konten. Elakkan teks terlalu panjang tanpa perenggan kerana ia akan menyukarkan pembacaan dan proses semakan.
Ada juga pihak yang meletakkan syarat khusus. Contohnya, jika tidak ada jeda dalam ucapan penyampai bagi tempoh dua minit, pecahkan teks kepada perenggan bagi setiap sela masa ucapan 30 saat.
3. Rehat setiap 15 minit
+ Ambil masa untuk berehat.
Ini penting untuk legakan mata, pendengaran dan badan anda. Jika dibuat terus-menerus, dikhuatiri anda tidak lagi menaip perkataan yang diucapkan penyampai, sebaliknya perkataan yang direka-reka sendiri.
4. Pastikan posisi duduk selesa
+ Ruang kerja yang kondusif itu penting. Keselesaan ini termasuklah kerusi selesa dengan penyandar yang menyokong tulang belakang, selain kaki tidak tergantung ketika anda duduk. Ketinggian meja yang sesuai juga penting supaya anda tidak perlu mendongak sewaktu memandang skrin.
5. Gunakan ‘earfon/headfon’ yang bagus
+ Suara rakaman melalui headfon yang bagus akan lebih jelas. Ia juga menapis suara-suara luar yang tidak perlu supaya anda boleh fokus pada suara penyampai sahaja.
Penggunaan headfon yang bagus akan memudahkan anda mentranskrip, mengurangkan peratus ulang dengar dan membantu apabila ada perkataan yang sebutannya kurang jelas. Paling tidak, anda boleh meneka perkataan tersebut dengan yang disebut lebih baik berbanding apabila mendengarnya tanpa bantuan headfon.
Ini salah satu headfon yang ahli pasukan kami guna https://shp.ee/zqvpdty. Alhamdulillah, ia masih berfungsi dengan baik hingga sekarang.
6. Keyboard ergonomik untuk kerja-kerja mentranskrip.
+ Selain headset, memilih keyboard yang sesuai untuk kerja menaip juga faktor penting. Apa ciri-ciri keyboard ergonomik ini?
Antaranya, saiz yang tidak terlalu kecil/besar (memudahkan capaian huruf dan tidak membuatkan anda klik dua huruf tanpa sengaja), butang yang mudah diketik, bising/tidak apabila ditekan (bergantung kepada kegemaran masing-masing), tidak terlalu tebal dengan berat yang sesuai (tak ringan sangat dan tidak terlalu berat).
Kedudukan tangan yang tidak tergantung dan berada pada paras ketinggian yang selesa akan membantu anda mentranskrip lebih baik.
Ia juga dapat mengelakkan anda sakit tangan selepas menaip untuk tempoh yang lama. Jika mampu, belilah papan kekunci mahal yang khusus untuk kerja-kerja menaip dalam tempoh yang lama seperti ergonomic keyboard dalam gambar ini https://shp.ee/sx2itn4. Impian saya nak ada papan kekunci begini.
7. Gunakan ‘text expander’ (pengembang teks)
+ Penggunaan pengembang teks pada perkataan yang sering diulang akan mempercepat kelajuan mentranskrip selain anda tidak perlu mengulang taip perkataan yang sama berkali-kali.
Salah satu caranya adalah memanfaatkan fungsi auto-correct pada Microsoft Words. Ya, fungsi yang anda paling tak suka itu penting dalam kerja-kerja mentranskrip.
——
Buat tuan puan yang mencari pentranskrip, boleh hubungi saya atau klik pautan ini untuk membuat tempahan.