Pertama sekali, saya senang mahu menggunakan istilah Penulisan yang Menyembuhkan bagi Writing to Heal.
Tak sengaja, saya jumpa Kdrama A Poem A Day ini apabila ada snippet muncul di news feed Instagram. Ia disiarkan di saluran tvN pada 2018. Drama genre medik yang tidak memfokuskan kepada doktor perubatan.
Drama genre slice of life ini mengisahkan kehidupan kumpulan staf dan pelatih di bahagian radiologi dan fisioterapi. Ini menarik, menurut saya kerana agak jarang menemukan drama medik yang memfokuskan kepada staf daripada kumpulan ini.
Saya tidak mahu menyentuh soal dunia pekerjaan itu sebaliknya mahu membincangkan soal puisi yang digunakan sebagai alat dan ilmu bantu dalam drama ini. Menarik apabila konten puisi diselarikan dengan jalan cerita dan babak yang ditunjukkan.
Secara dasarnya, saya suka apabila puisi tidak hanya dilihat sebagai tulisan yang digunakan untuk meluahkan perasaan cinta dan sayang kepada pasangan sehingga menjadi bahan tempelan yang akhirnya hanya berfungsi sebagai hiburan sisi. Drama ini dilihat berjaya memperlihatkan fungsi puisi dalam kehidupan manusia. Sebagaimana fungsi bahan bacaan dalam menjadikan manusia lebih tenang dan bijak.


Dalam A Poem A Day, puisi diangkat sebagai salah satu bahan yang membantu dalam penyembuhan pesakit. Bahkan, ia menjadi preskripsi yang boleh digunakan berulang-ulang kali.
Penggunaan puisi ini disampaikan melalui watak utamanya Woo Bo Young lakonan Lee Yo-Bi. WWoo Bo Young yang berjiwa halus, mudah menangis menemukan ketenangan apabila membaca puisi. Dia mencintai bidang penulisan dan berimpian mahu menjadi pemuisi namun cita-cita itu dilupakan disebabkan isu dan latar keluarganya.
Ditulis secara jelas dalam tajuknya, A Poem A Day. Satu puisi sehari. Ia merupakan salah satu pendekatan rawatan Juruterapi Woo kepada pesakit, iaitu memberi rekomendasi puisi kategori healing dengan konten berkonotasi positif yang boleh dibaca oleh pesakit. Tujuannya tidak lain, menaikkan semula semangat mereka untuk memulakan sesi pemulihan.
Puisi ini ditampal pada papan kenyataan supaya boleh dibaca oleh semua orang. Dan melalui puisi-puisi ini juga, ia perlahan-lahan merawat luka emosi profesor baru di jabatannya, Ye Jae Wook lakonan Lee Joon Hyuk.
Ya, cerita ini menyentuh konsep biblioterapi. Pesakit diberi bahan bacaan sebagai terapi supaya mental mereka kembali kuat untuk berhadapan ketakutan dan menjalani rawatan, sesi demi sesi yang menyakitkan dan meletihkan.
Menerusi episod 1 misalnya, puisi “Pain and Sadness Can Also Become a Path” digunakan sebagai bahan untuk memujuk Woo Bo Young (watak utama – ahli fisioterapi berstatus kontrak) ketika dia sedang mengalami kekecewaan. Ironi, apabila dia pernah menggunakan puisi yang sama untuk menyenangkan hati pesakitnya.

Hasil terapi Juruterapi Woo itu ditunjukkan melalui kad-kad yang ditulis oleh pesakit. Sekali lagi, elemen tulisan digunakan bagi menyampaikan penghargaan dan kandungan yang bersifat peribadi. Saya suka penggunaan elemen ini.
***
Saya kongsikan petikan puisi berkenaan dalam terjemahan Bahasa Inggeris,
Pain and Sadness Can Also Become a Path, oleh Lee Chul Hwan.
I realized this after a long time of pain,
that pain can also become a path.
There is no life where no wind blows,
the wind must blow,
so that the tree will root deep inside the earth,
so that it won’t fall over.
That is why the wind shakes the trees,
that is why the wind shakes all of us.
Pain can also become a path,
sadness can also become a path.
Buat rakan-rakan yang mencari cerita ringan untuk ditonton, bolehlah cari drama ini.

***
Menemukan tulisan yang berempati, seumpama memberi sedatif kepada jiwa yang sedang tegang.
Bagaimana tulisan itu mampu menyembuhkan, baik kepada penulisnya sendiri mahupun pembaca? Pada saya, aktiviti freewriting termasuk dalam kategori ini.
Sebab saya pernah sakit dan hampir dua tahun saya tidak dapat menulis atau menghasilkan karya baharu. Bukan sahaja tak mampu menulis, saya malah benci melihat skrin putih dan perkataan.
Alhamdulillah, saya menemukan penawar melalui aktiviti freewriting dan kembali bertatih sebelum aktif menjadi ghostwriter.
Ada apa dengan freewriting? Mari kita lihat pandangan dua tokoh dalam topik ini iaitu Natalie Goldberg dan James Pennebaker.
Kata Natalie Golberg yang sangat mencintai penulisan, menulis itu sendiri sudah syurga. Beliau percaya menulis memberi kebahagiaan kepada penulisnya, tanpa peduli genre yang dipilih.
James W. Pennebaker pula mengatakan aktiviti menulis khususnya melalui freewriting ialah cara mengekspresikan diri dan membantu untuk keluar daripada trauma.
Bagi saya, ini antara kebaikan menulis itu sendiri dan sebab ia dikatakan penyembuh:
i. Melegakan fikiran khususnya apabila sedang ada banyak perkara yang difikirkan.
ii. Melatih rasa percaya diri melalui perkataan-perkataan yang dituliskan.
iii. Membolehkan perasaan, fikiran dan idea dialirkan serta berkembang melalui perkataan, seterusnya membuka perspektif baru yang lebih segar.
Jika anda berminat mahu baca lebih banyak perkongsian mengenai penulisan yang menyembuhkan ini, boleh cari naskhah Writing to The Bones oleh Natalie Golberg. Ia diterbitkan pada 1986 dan masih laku keras hingga kini. Pada 2016, ia terjual sebanyak 30 000 naskhah. Ia juga ada di Goole Books.
James W. Pennebaker ada beberapa buku:
– Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotions diterbitkan pada 1997.
– Expressive Writing : Words That Heal, 2014
Saya masih belum dapat mencari buku Pennebaker.
Sampai sini sahaja dahulu perkongsian saya untuk kali ini. Sampai nanti.
#WritingtoHeal
#PenulisanyangMenyembuhkan
#jomfreewriting
Terima kasih atas insight barunya.
LikeLike
Sama-sama.
LikeLike